Saturday, January 3, 2015

Peluang

Hidup hanya sekali, nyawa tiada galang ganti.
Kita manusia, tiada terlepas daripada khilaf, namun peluang sentiasa ada.
Setiap pagi kita bangun, diberi Sang Pencipta peluang untuk memperbaik apa yang perlu.
Sedangkan Dia memberi kita peluang untuk berubah,
kenapa kita terlalu bongkak menutup peluang manusia lain untuk berubah?

Kenapa kita melulu mengklasifikasikan kes-kes tertentu sebagai tiada harapan?
Melihat seorang yang kita hakimi sebagai kurang elok berbanding kita,
tiada harapankah dia untuk berubah menjadi lebih baik?
Melihat seorang yang kita rasa seribu kali lebih baik berbanding kita,
kita pandang rendah terhadap diri sendiri mengangkat bendera putih menyatakan mana pernah mampu kita menjadi sebaik seseorang itu, wajarkah kita?

Perjuangan ini, selagi Dia izinkan, usah kita titik noktahkan usaha itu.
Kerana semangat itu memang ada naik dan turunnya,
sifat manusia yang lemah tiada kita mampu mengubah,
namun teruslah berkayuh dengan sinar harapan,
memandang ke hadapan dengan harapan dan usaha agar diri kita esok lebih baik daripada hari ini.

Perjuangan insan lain juga bukan milik kita untuk dihakimi,
buruk baik mereka biarlah Allah yang menentukan,
bersangka baiklah selalu.
Jika hari ini mereka tampak bukan seperti yang kita harapkan,
teruslah optimis dan memohon kepada Ilahi,
agar esok masih kita dapat raih dan berpeluang merasai dan menyaksikan perubahan yang diharapkan,
sama ada ia tentang kita atau tentang mereka,
teruslah positif.

Kurangkan prejudis, tingkatkan optimis :)

---

Kerana aku banyak menyaksikan perkara yang menggalaukan.
Maafkan aku andai aku khilaf dalam berpendapat,
sesungguhnya telahanku masih dangkal dan kurang ilmu.

Aku bukanlah manusia mulia, aku juga pendosa. Kerana itu jujurnya aku selalu memberi peluang demi peluang kepada mereka yang menyakiti hati ini, dengan harapan, walaupun terluka qalbu ini, peluang itu diberi untuk diri mereka dan juga untuk aku sendiri. Peluang untuk mereka mencuba lagi, dan peluang untuk aku sendiri merasa bahagia setelah mereka berjaya mencuba. Dan aku percaya, aku sendiri mungkin ada sahaja mengguris rasa insan sekeliling, dan aku juga minta andai aku bertindak melulu, berilah aku peluang lagi untuk menjadi lebih rasional dan berhemah. Kerana telah beribu hari Dia meminjamkan lagi roh pada jasadku setelah Dia memegang rohku saat aku tidur, maka aku kira, tiada salah peluang yang aku peroleh itu aku guna untuk diri aku sendiri dan juga untuk orang lain.

Salam perubahan,
Salam Maulidur Rasul,
12 Rabi'ul Awal 1436H
1245 03 Januari 2015M
Share:

0 buddy (ies):